Sunday, 13 December 2015

ISU3 - AKSES DAN EKUITI



1.0       PENGENALAN
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada perkara yang murid mesti tahu, faham dan mampu melakukannya. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengaplikasikan semula kandungan mata pelajaran yang dipelajari. Namun begitu, kemahiran ini kurang kritikal dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Murid perlu ada keupayaan penaakulan serta membuat unjuran dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Ciri-ciri kepimpinan perlu ada dalam diri murid untuk bersaing di peringkat global. Melalui pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Berdasarkan kajian tinjauan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga melaporkan bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan. Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk menukarkan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai. Bentuk kejayaan yang dilihat adalah dari segi tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran terbaik akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Serterusnya, murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah.

2.0       DEFINISI AKSES DAN EKUITI     
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, akses didefinisikan sebagai proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu data dan maklumat dan juga merupakan capaian. Manakala ekuiti pula bermaksud pemilikan sama rata dalam sesebuah organisasi, saksama dan adil. Secara amnya, akses dan ekuiti ini boleh menghapuskan jurang dan membuka peluang kepada rakyat terutama pelajar yang berbeza dari segi keperluan dan kebolehan bagi mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman melalui pendidikan secara sama rata.

3.0       KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF 
            ANTARABANGSA

            11 anjakan utama telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang salah satunya menyentuh berkaitan menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Antara aspirasi pendidikan Malaysia adalah berkaitan akses dan ekuiti. Setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian perlu memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas iaitu sehingga Tingkatan 5 menjelang tahun 2020 melalui peningkatan kualiti prasekolah dan meningkatkan enrolmen kepada 100% menjelang 2020. Sehubungan dengan itu, pelanjutan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada umur 6 tahun, disokong dengan program pengekalan yang disasarkan dan latihan vokasional sebagi persediaan untuk pekerjaan. Menjelang tahun 2020, setiap murid akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan minimum SPM atau kelayakan vokasional yang setara. Perubahan ini bermaksud pendidikan wajib akan ditingkatkan daripada 6 tahun kepada 11 tahun. Enrolmen murid dianggarkan akan meningkat sebanyak 5%, 10% dan 20% masing-masing di peringkat pendidikan rendah, menengah rendah, dan menengah atas (berdasarkan kadar enrolmen pada tahun 2011 untuk sekolah awam dan swasta). Murid yang mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan, merangkumi bimbingan pemulihan kaunseling untuk ibu bapa dan murid serta pelbagai inisiatif lain. Murid akan diberi pilihan mengikuti pelbagai laluan pendidikan berdasarkan minat dan keupayaan mereka. Pilihan ini termasuk aliran teknik dan vokasional yang diperluaskan, yang menawarkan kelayakan diiktiraf industri, dan peluang latihan industri menerusi kerjasama rapat dengan sektor swasta.
Setiap murid berumur 5+ tahun akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh pihak awam dan swasta. Keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak mampu mendaftar anak mereka ke prasekolah akan diberikan bantuan kewangan berdasarkan keperluan oleh Kementerian. Semua prasekolah akan mengikuti standard kualiti kebangsaan, termasuk menempatkan guru yang berkelayakan diploma di setiap prasekolah. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara tetap oleh Kementerian atau Majlis Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Malaysia bagi memastikan standard minimum dicapai.
Bagi menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid orang Asli dan kumpulan minoriti, dan murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain. Menjelang tahun 2025, mereka akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membantu. Mereka akan diajar oleh guru yang telah diberi latihan khas untuk memahami keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi pengajaran yang diperlukan, untuk mengajar murid yang mempunyai keperluan khusus. Jika perlu, murid ini juga akan diberikan sokongan melalui perluasan jaringan dengan kaunselor, ahli terapi dan pembantu guru. Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang tahun 2020.
Keupayaan dalam kemahiran membaca, matematik dan sains menjadi penanda aras dengan standard antarabangsa. Setiap murid akan dapat menguasai dengan baik kemahiran literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran di masa hadapan, serta dalam mata pelajaran Sains, bidang utama bagi perkembangan ekonomi Malaysia. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan yang berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Kementerian juga akan menetap dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila diterima di peringkat antarabangsa.
Hakikatnya, hari ini murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Pihak terlibat telah merombak peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi pada 2016. Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak untuk mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan mempelbagaikan kaedah pengajaran, di samping turut memberi lebih penekanan pada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemaskan mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif.
Kurikulum baharu akan menyokong dan mempercepatkan laluan pembelajaran untuk murid yang berprestasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun dan bukan lima tahun, dan UPSR diduduki pada Tahun 5. Tambahan lagi, standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum. Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun.
Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi, 80% dalam pentaksiran pusat untuk Tingkatan 3, 75% daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50% bagi soalan mata pelajaran elektif SPM. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji, dan pada masa yang sama tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu. Sebaliknya, murid dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan. Penilaian berasaskan sekolah juga memberikan tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir aras tinggi

4.0       ISI-ISU BERKAITAN KESAMARATAAN AKSES
            Dalam kerancakan pihak terlibat terutamanya Kementerian Pelajaran merencana dan merangka dasar bagi mengangkat taraf pendidikan Malaysia setanding dengan kedudukan terbaik di peringkat global, terdapat beberapa kekangan yang secara kasarnya menjadi penyebab kepada kelancaran proses tersebut. Antara isu yang akan dikupas adalah berkaitan dengan komunikasi, kaedah pengajaran dan pembelajaran (pdp), penilaian dan pentaksiran, kemahiran berfikir aras tinggi dan jurang pencapaian dari segi sosioekonomi.
            Komunikasi memainkan peranan penting dalam proses menyampaikan ilmu pengetahuan. Menurut kajian, guru merupakan sumber utama dalam proses penyampaian maklumat yang merangkumi 55% sehingga 85%. Isi kandungan yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar sekiranya guru menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Tidak dinafikan terdapat guru yang tidak menguasai kemahiran berkomunikasi menyebabkan terdapat jurang antara murid dan guru. Oleh yang demikian, pihak kepimpinan sekolah perlu memainkan peranan dalam menganjurkan kursus komunikasi berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menyediakan satu suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Menurut mantan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, 2009 PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu dan Bumiputera di luar Bandar. Menurut Tan Sri Dato' Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, 2011 jika Jepun, Jerman dan China mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, beliau percaya Malaysia juga boleh cemerlang dalam pelbagai bidang. Pemansuhan PPSMI adalah bertujuan bagi meningkatkan tahap kefahaman murid dalam menguasai isi pembelajaran dengan lebih berkesan.
            Kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran (pdp) memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia. Terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang boleh diterapkan dalam pdp. Antaranya ialah pembelajaran kooperatif, pembelajaran masteri, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran berasaskan projek. Pdp yang menyeronokkan akan dapat meningkatkan kefahaman murid dalam sesuatu topik yang dipelajari melalui kaedah pembelajaran yang dinyatakan di atas berbanding pembelajaran tradisional yang hanya berpusatkan guru. Sekiranya setiap guru melaksanakan pdp dengan kaedah berpusatkan murid, maka hasrat kerajaan terutamanya KPM akan terlaksana bagi menghasilkan murid yang memenuhi aspek jasmani, emosi, rohani, insaniah dan jasmaniah. Anjakan ke-3 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 adalah untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012). Sistem pendidikan yang hanya menitik beratkan akademik semata-mata dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek-aspek nilai dalam pengajaran di dalam bilik darjah akan mewujudkan generasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang keilmuan tetapi kurang menghargai akhlak dan agama dalam profesion dan kehidupan mereka. (Abdul Rahim;Azharul, 2010).
            Kaedah penilaian dan pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Kaedah penilaian dan pentaksiran yang diperkenalkan adalah pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah iaitu tingkatan 1, 2 dan 3. Pelaksanaan PBS telah mendapat pelbagai reaksi daripada semua pihak. Sistem SPPBS yang telah dimansuhkan telah memberi kemudahan kepada guru memandangkan sistem yang dibangunkan mengalami gangguan. Empat komponen PBS  yang terkandung di dalam PBS adalah terdiri daripada pentaksiran sekolah (PS), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK), pentaksiran psikometrik (PPsi) dan pentaksiran tingkatan 3 (PT3). Pelaksanaan PBS memerlukan integriti daripada guru-guru yang melaksanakan pentaksiran tersebut. Penilaian yang dibuat seharusnya berdasarkan penglibatan murid dan kemampuan murid untuk melakukan tugasan yang diberi. Secara keseluruhannya, PBS merupakan satu penilaian dan pentaksiran yang holistik dan menyeluruh dalam mengukur kebolehan murid secara berterusan. Kaedah pdp dan pentaksiran adalah berkait rapat antara satu sama lain. Di peringkat SPM, soalan peperiksaan boleh dipilih oleh murid menyebabkan murid hanya mempelajari topik tertentu sahaja. Sebagai contoh, soalan SPM matematik tingkatan 5, pada soalan bahagian B, terdapat lima soalan yang diberikan dan murid hanya perlu memilih empat soalan sahaja di mana satu soalan mewakili satu bab. Maka kebarangkalian murid tidak menguasai salah satu bab adalah sangat tinggi.
            Pembelajaran abad ke-21 menekankan kepada soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kesediaan murid dalam menjawab soalan KBAT adalah berada di tahap yang sederhana. Murid tidak dapat menganalisis kehendak soalan dan akhirnya berputus asa untuk menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik. Buktinya kedudukan Malaysia dalam ujian TIMSS dan PISA berada di tangga yang tercorot. Bagi mengatasi masalah ini, pihak kepimpinan sekolah memainkan peranan penting dalam memberi penekanan kepada guru-guru berkaitan kepentingan KBAT dan pelaksanaannya dalam pdp di bilik darjah. Sekiranya semua guru memainkan peranan masing-masing dan berfikiran positif dalam menyampaikan isi kandungan berdasarkan soalan KBAT, maka murid-murid akan lebih bersedia dan mampu untuk berusaha menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik. Teknik menjawab soalan KBAT berdasarkan empat langkah Model Polya mampu membimbing murid untuk menjawab soalan KBAT. Empat langkah yang diperkenalkan adalah memahami kehendak soalan, mengatur strategi dan kaedah penyelesaian, melaksanakan kaedah penyelesaian dan menyemak jawapan.
            Jurang pencapaian dari segi sosi ekonomi dan konsep kendiri murid merupakan satu faktor yang mengurangkan kesamarataan akses dalam meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat antarabangsa. Antara aspek sosioekonomi yang boleh dilihat adalah dari segi pekerjaan dan pendapatan ibu bapa serta taraf pendidikan ibu bapa. Kajian yang dibuat menunjukkan bahawa ibu bapa yang memiliki tahap pengetahuan yang tinggi mampu menempatkan diri dalam pekerjaan profesional yang memberikan pendapatan yang lebih tinggi. Hal ini memudahkan mereka menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak mereka seperti akses internet dan kelengkapan persekolahan yang lain. Secara tidak langsung, anak-anak mereka mampu untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi. Konsep kendiri merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan pencapaian murid. Namun, murid perlu memiliki konsep kendiri positif untuk mencapai kejayaan tersebut. Pada peringkat remaja, murid sedang mencari identiti diri dan mengalami kekeliruan peranan. Pada peringkat umur 12-20 tahun, remaja akan cuba berusaha mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Mereka juga mula memikir diri mereka sebagai bakal teman hidup, ibu bapa dan ahli masyarakat. Sekiranya usaha mencari identiti diri ini gagal, mereka akan mula meragui peranan dan fungsi mereka dalam masyarakat. (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2004). Maka semua pihak terutamanya ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak bagi mewujudkan suasana kehidupan yang positif seterusnya mampu meningkatkan pencapaian anak-anak mereka.

5.0       CADANGAN MENGATASI KEKANGAN AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN
            MATEMATIK
                Setiap kekangan yang terdapat dalam akses dan ekuiti dalam pendidikan Matematik perlu diatasi bagi melonjakkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan adalah memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih analitik, mewujudkan interaksi sosial antara guru dan murid, komitmen dan kreativiti guru, kepelbagaian kaedah pengajaran guru dan gaya pembelajaran murid.
            Bagi memantapkan sistem penilaian dan pentaksiran, guru perlu menggalakkan penggunaan soalan kemahiran berfikir aras tinggi dengan mengemukakan soalan masalah bukan rutin dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan anjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
            Seterusnya, interaksi sosial antara guru dan murid perlu dimantapkan. Dalam pengajaran dan pembelajaran, strategi pemusatan murid ditekan dalam bilik darjah. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran. Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala. Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, bekerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.  Pada 5 Ogos 2009, PPSMI telah dimansuhkan secara ‘soft landing’. Pada tahun 2012 MBMMBI dilaksanakan dan rasionalnya adalah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak 1970an. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.
            Guru perlu memberi komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan misi dan visi kementerian pelajaran. Guru harus memberi hak kesamaan kepada murid berpencapaian rendah di dalam pengajarannya (Vaughn et al., 2003). Proses pengajaran memerlukan persediaan yang mantap oleh seorang pendidik sebelum terlibat secara langsung dalam pdp di sekolah. Guru perlu memahami masalah pelajar dan menguasai kurikulum serta teknik dan kaedah mengajar selain muhasabah diri bagi meluaskan pengetahuan.  Masa yang secukupnya perlu diberi untuk pelajar menjawab sesuatu soalan serta memanggil mereka sekerap mungin seperti memanggil pelajar lain. Namun begitu, elakkan meminta pelajar berpencapaian tinggi sering membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah. Peluang perlu diberi kepada semua murid untuk menjawab soalan sukar dan berpemikiran tinggi. Cadangan hak kesamaan adalah elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah mengajar bagi mengelakkan tanggapan bahawa mereka murid berpencapaian rendah, berinteraksi dengan mereka sekerap mungkin, menerima idea sebagai menghargai idea mereka sebagai sesuatu yang bermakna  dan memberi maklum balas yang berinformasi terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah.
            Kepelbagaian kaedah pengajaran guru mampu meningkatkan pencapaian murid. Pembelajaran Koperatif melibatkan pengajaran yang mengumpulkan pelajar dalam kumpulan kecil supaya mereka bekerjasama bagi memaksimumkan pembelajaran (Johnson et.al,1993). Pendekatan pengajaran model koperatif STAD (Students Teams- Achievement Division), TGT (Teams-Games- Tournament), TAI (Team Assisted Individualization) melibatkan 4 atau 5 orang murid dalam satu kumpulan kecil yang terdiri daripada pelajar pencapaian tinggi, sederhana dan rendah. 4 kriteria utama yang perlu dititik beratkan iaitu persembahan dan penyampaian guru, kumpulan, kuiz dan pengiktirafan kumpulan. Bagi model STAD, kuiz dijalankan bagi menggantikan permainan dalam model lain. Pencapaian pertandingan melibatkan skor rendah atau tinggi dan melibatkan kombinasi pembelajaran kumpulan dengan individu. 4 atau 5 orang murid ditempatkan dalam satu unit berdasarkan Ujian Diagnostik. Skor ujian dikumpul dalam seminggu dan akan menjadi skor kumpulan. Hasil kajian oleh penyelidik mendapati pembelajaran koperatif menyebabkan peningkatan dalam keupayaan menyelesaikan masalah, menggalakkan aktiviti metakognitif, penyelesaian masalah matematik dan melahirkan murid yang berfikiran kritikal dan pemikiran tahap tinggi.
            Murid perlu melihat corak dan gaya pembelajaran yang diamalkan bagi meningkatkan pencapaian akademik mereka. Murid perlu tahu halangan kefahaman sesuatu maklumat, mengaplikasikan pembelajaran dalam kehidupan seharian, meminta bantuan orang lain dan berusaha mengatasi kelemahan diri. Gaya pembelajaran bermaksud kaedah tersendiri individu mencari, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat (Felder dan Henriques, 1995). Dalam kajian Bass&Greary(1996), mereka merumuskan bahawa salah satu cara penentuan kecekapan atau prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai ilmu adalah dengan menyedari gaya pembelajarannya. Penggunaan kaedah atau gaya pembelajaran dapat membantu seseorang mengetahui dan memahami pengetahuan dan kemahiran dalam proses pembelajaran. Menurut Dunn&Stevenson(1997), gaya pembelajaran yang dimiliki juga dapat membantu seseorang untuk mengenalpasti situasi pembelajaran dan mempertingkatkan prestasi pembelajaran. Murid yang tahu menggunakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan dirinya akan lebih mudah membantu mereka mencapai keputusan yang lebih cemerlang. Manakala menurut Dunn & Dunn (1978) dalam kajian berpanjangan (longitudinal) oleh beliau menghasilkan satu model gaya pembelajaran dan mengenalpasti 5 kategori gaya pembelajaran yang diamalkan oleh individu. Model Gaya Pembelajaran Dunn & Dunn berasaskan prinsip-prinsip iaitu kebanyakan individu mampu dan boleh belajar, setiap individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu, gaya pembelajaran individu bertindak balas dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran, dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran, seorang dapat mengoptimumkan proses pembelajarannya.
6.0       KESIMPULAN
                Kesimpulannya, guru-guru dan murid khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan Matematik di samping perlu mendapat sokongan daripada pihak-pihak lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, pentadbir sekolah dan ibu bapa.

ISU 2 - JURANG PENCAPAIAN



Perbincangan berkaitan faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pencapaian Matematik di Malaysia
        1. Faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pencapaian Matematik.
a)  Pencapaian matematik setiap murid adalah berbeza bergantung kepada beberapa faktor. Empat faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pencapaian matematik yang dilihat dari aspek lokaliti, gender, sosial dan budaya. Keempat-empat faktor ini dilihat menjadi penyumbang utama kepada perbezaan pencapaian murid.
b)  Faktor lokaliti yang dilihat dari aspek Bandar dan luar Bandar menampakkan jurang perbezaan yang ketara di antara dua lokasi tersebut. Kemudahan yang disediakan di Bandar lebih lengkap berbanding di luar Bandar. Capaian internet untuk mengakses maklumat berkaitan PdP, kemudahan bekalan air dan elektrik serta kelengkapan persekolahan menampakkan jurang utama Bandar dan luar Bandar. Murid dan guru di Bandar dapat menikmati kemudahan tersebut selengkapnya sebaliknya di luar Bandar pula murid dan guru menghadapi kekangan dalam menikmati kemudahan tersebut. Oleh yang demikian, hal ini menyumbang kepada pencapaian matematik di kawasan Bandar lebih baik berbanding luar Bandar.
c)  Faktor kedua adalah dari aspek gender. Gender merupakan jantina yang dikategorikan sebagai perempuan dan lelaki. Kajian menunjukkan bahawa murid perempuan lebih Berjaya berbanding murid lelaki. Hal ini kerana, murid perempuan lebih cenderung untuk belajar bersungguh-sungguh dan bermotivasi lebih tinggi untuk berjaya berbanding murid lelaki. Gaya pembelajaran antara murid lelaki dan murid perempuan juga berbeza. Murid lelaki lebih cenderung kepada pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih kepada visual, tektual dan kinestatik berbanding murid perempuan. Murid lelaki juga tidak dapat belajar dalam jangka masa yang lama untuk mendengar pengajaran guru kerana mereka lebih cenderung kepada pergerakan berbanding murid perempuan.
d)     Faktor ketiga adalah dari aspek sosial. Aspek sosial boleh dilihat dari segi sosioekonomi, persekitaran, konsep kendiri dan komunikasi. Sosioekonomi adalah berkaitan dengan taraf pendidikan ibu bapa, pendapatan ibu bapa dan kemudahan yang disediakan. Kajian mendapati bahawa ibu bapa yang berpendidikan tinggi mampu untuk tergolong dalam pekerjaan kelas professional dan berpendapatan lebih tinggi. Ibu bapa dalam golongan ini mampu menyediakan kemudahan kelengkapan pembelajaran yang lebih efektif kepada anak-anak mereka berbanding ibu bapa yang berpendapan rendah. Persekitaran juga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang murid. Persekitaran yang sihat mampu melahirkan murid yang berfikiran positif. Pergaulan dengan rakan sebaya yang positif boleh mendorong murid untuk berjaya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana persekitaran yang sihat di rumah. Ibu bapa yang meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka dan mengambil berat setiap perkara yang berlaku kepada anak-anak mereka dapat mendorong anak-anak untuk lebih bersikap positif dan berusaha menjadi seorang yang berjaya berbanding ibu bapa yang leka dengan hal masing-masing.  Guru juga perlu memainkan peranan penting semasa proses PdP berlangsung. Suasana pembelajaran yang positif dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar. Konsep kendiri merupakan persepsi seseorang terhadap dirinya. Jika murid memiliki konsep kendiri yang positif maka keinginan dan motivasi untuk melakukan sesuatu tugasan yang diberi adalah tinggi. Kejayaan akan datang dengan usaha yang bersungguh-sungguh.  Komunikasi merujuk kepada interaksi antara dua pihak. Menurut kajian, guru merupakan sumber utama dalam penyampaian ilmu pengetahuan iaitu sebanyak 55%-81%. Penyampaian isi pembelajaran dan kejelasan penyampaian memainkan peranan utama dalam meningkatkan kefahaman dan minat untuk belajar dalam kalangan murid.
e)      Faktor keempat adalah berkaitan dengan budaya. Guru memainkan penranan utama dalam mewujudkan budaya pembelajaran yang sihat. Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi meningkatkan kefahaman murid. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah juga memainkan peranan penting bagi menggerakkan aktiviti yang menjurus kepada penerapan budaya yang positif di sekolah.

         2. Cadangan penyelesaian dalam mengurangkan jurang pencapaian.
a)   Pihak sekolah perlu memperbanyakkan program motivasi bagi meningkatkan kesedaran murid dalam memperoleh ilmu pengetahuan.
b)  Kelengakapan PdP yang membantu murid untuk belajar perlu disediakan oleh pihak sekolah dengan menggunakan peruntukan yang disediakan secara maksimum.
c)   Guru-guru perlu mencuba kaedah dan strategi pengajaran mengikut tahap pembelajaran murid bagi meningkatkan kefahaman mereka.
d)     Guru-guru perlu sentiasa menggalakkan pembelajaran secara berkumpulan di antara rakan sebaya dengan membimbing mereka teknik dan kaedah pembelajaran yang lebih berkesan.
e)    Kehadiran SIPartners+ dan SISC+ ke sekolah yang berada di band 5 dan 6 dilihat dapat membantu guru-guru dalam mempertingkatkan lagi kaedah dan strategi PdP kepada yang lebih berkesan. Perbincangan dan perkongsian idea dapat diperluaskan di peringkat dalaman sekolah melalui latihan dalaman yang dijalankan oleh guru yang dibimbing oleh pegawai SIPartners+ dan SISC+.

ISU 1 - ASAL USUL, TUJUAN, STRUKTUR PENDIDIKAN DI MALAYSIA



Perbincangan berkaitan asal-usul, tujuan dan struktur pendidikan di Malaysia.
 
1. Kelebihan perubahan dasar sistem pendidikan dari semasa ke semasa.
a)    Dasar sistem pendidikan berubah mengikut era pembangunan Negara dan perkembangan teknologi maklumat.
b)  Bermula dari kemahiran asas pembelajaran matematik, dasar telah berkembang kepada pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan kritis serta kemahiran berfikir aras tinggi.
c)     Kemahiran berfikir aras tinggi menjadi tumpuan utama pada masa kini. Setiap soalan yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada penyelesaian masalah. Penerapan KBAT dalam PdP secara tidak langsung dapat memupuk murid untuk berfikir dengan mengaitkan teori matematik yang telah dipelajari. Melalui KBAT, murid dapat mengeluarkan idea tanpa batasan bagi melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan.
d)  Penerapan dan penggunaan teknologi maklumat dalam PdP dapat meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai pembelajaran matematik secara berkesan. Penggunaan perisian seperti ‘geometri sketch pad’, ‘geo gebra’ dan lain-lain boleh meningkatkan kefahaman murid dengan menerokai dan menimba pengalaman sendiri mencari penyelesaian kepada soalan yang dikemukakan.

      2. Kepentingan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik.
a) Matlamat dan tujuan pendidikan yang digariskan selaras dengan perkembangan pembelajaran murid yang menekankan konsep JERIS iaitu melibatkan perkembangan murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
b)  Murid diharap agar dapat menguasai kemahiran matematik di setiap aras pembelajaran supaya dapat diaplikasikan dalam situasi harian.
c)   Matlamat dan tujuan pendidikan Matematik dapat dipenuhi dan tercapai sekiranya guru menerapkan kaedah dan strategi pengajaran yang lebih bermakna. Antara kaedah yang boleh digunakan bagi meningkatkan kefahaman murid dan melibatkan murid adalah dengan kaedah pembelajaran kooperatif. Melalui pembelajaran kooperatif, murid dapat melibatkan diri sepenuhnya dalam proses penerimaan ilmu matematik dan dapat menerapkan kaedah komunikasi yang terbaik dalam kalangan rakan sebaya. Selain itu, guru juga boleh menggunakan kaedah pengajaran ‘Pembelajaran Berasaskan Projek’ di mana murid mengeluarkan idea dengan berbincang di dalam kumpulan yang dibentuk untuk menghasilkan suatu model berdasarkan konsep yang telah dipelajari. Melalui pembelajaran ini, murid dapat mengeluarkan idea-idea yang bernas bagi menghasilkan satu prototaip yang terbaik hasil gabungan cetusan idea daripada ahli kumpulan. Murid juga diajar untuk membentangkan hasil projek yang dihasilkan. Secara tidak langsung, guru dapat mendidik murid untuk lebih berketerampilan dan berani untuk berkomunikasi melalui pembentangan hasil prototaip.

      3. Kekuatan struktur pendidikan Matematik.
a)      Kurikulum yang dirancang dan diatur bermula dari pendidikan matematik sekolah rendah ke peringkat pendidikan matematik dan matematik tambahan sekolah menengah mengandungi komponen bidang yang telah disusun atur mengikut aras kesukaran dan keperluan pembelajaran semasa. Murid sekolah rendah diperkenalkan dengan konsep asas matematik yang menjadi tunjang utama bagi meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya. Pembelajaran matematik di sekolah menengah diteruskan dengan pembelajaran yang lebih menjurus kepada soalan KBAT yang lebih kompleks. Murid yang mengambil mata pelajaran matematik tambahan diperkenalkankan dengan komponen algebra, statistik, trigonometri, kalkulus dan geometri yang menjadi asas kepada pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
b)  Penilaian dan pentaksiran yang dilaksanakan pada hari ini adalah secara bersepadu dan berterusan. Pentaksiran pusat yang meliputi UPSR, PT3 dan SPM dapat menilai tahap penguasaan murid sepanjang proses PdP berlaku dalam tempoh jangka panjang. Pentaksiran sumatif dan formatif pula dapat menggambarkan tahap pemerolehan ilmu bagi seseorang murid dalam tempoh jangka pendek.
c) Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula sejak tahun 2012 merupakan satu dasar yang dibentuk bagi melahirkan insan yang memiliki pelbagai kemahiran. Komponen PBS terbahagi kepada empat iaitu pentaksiran sekolah (PS), pentaksiran psikometrik (PPsi), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum (PAJSK), serta pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Pelaporan bagi setiap komponen diserahkan kepada murid mengikut tingkatan. Murid tingkatan 1 menerima 3 pelaporan yang terdiri daripada PS, PAJSK dan PPsi. Murid tingkatan 2 menerima 2 pelaporan iaitu PS dan PAJSK manakala murid tingkatan 3 menerima 4 pelaporan yang terdiri daripda PS, PAJSK, PPsi dan PT3. PBS merupakan satu penilaian dan pentaksiran yang berterusan dan menyeluruh kerana telah dirangkumkan dalam kurikulum pendidikan matematik dengan berpandukan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM). Penyataan deskriptor yang dibina dinilai semasa proses PdP berlangsung.