Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik



1.1              Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik
Pendidikan matematik memerlukan kurikulum yang mantap, pedagogi yang terkini dan sesuai dengan tahap pelajar, guru yang cekap dan berpengalaman serta mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan. Aspek kurikulum bukan sahaja perlu berfokus kepada kandungan, tetapi harus menyediakan individu dengan kemahiran yang perlu bagi memenuhi kehendak pembelajaran seumur hidup. Maka dengan itu suasana pendidikan harus berubah selaras dengan realiti dan keperluan pembelajaran semasa. Dari segi pedagogi, perkembangan pendidikan kini memerlukan strategi pengajaran yang lebih menitik beratkan penglibatan pelajar. Dalam mengendalikan pendidikan berpusatkan pelajar, guru perlu lebih berhati-hati kerana guru tidak boleh membiarkan pelajar belajar tanpa arah dan tujuan. Tindakan gurulah yang menggalakkan pelajar berfikir, menyoal, menyelesaikan masalah dan berbincang tentang idea, strategi dan penyelesaian. Guru bertanggungjawab mewujudkan suasana intelektual, iaitu pemikiran matematik secara serius menjadi norma. Guru matematik yang berjaya harus mampu mengatasi dan menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan bijaksana. Pengajaran yang baik adalah pengajaran yang menggalakkan pemahaman konsep dan prosedur matematik. Pemikiran kreatif dan kritis membantu pelajar membuat keputusan semasa menyelesaikan sesuatu masalah.

1.2              Definisi Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif adalah pembelajaran yang berlaku dalam persekitaran yang melibatkan pelajar berkongsi idea dan bekerja secara kolaboratif dalam kumpulan kecil untuk menyiapkan tugasan yang diberi bagi mencapai matlamat pembelajaran. Menerusi pembelajaran koperatif, pelajar berbincang dan mengeluarkan pendapat serta berkongsi maklumat dengan pelajar lain. Terdapat tiga kepentingan proses perbincangan yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pertama, perbincangan boleh menggalakkan pengulangan maklumat dan penjelasan. Kedua, perbincangan menghasilkan idea-idea yang bertentangan secara bersemuka dan ini meningkatkan pengekalan maklumat, pemahaman dan penyepaduan pelbagai pendapat. Ketiga, perbincangan memberi peluang kepada seseorang untuk mendapat maklum balas, sokongan dan galakan daripada rakan-rakan. Kajian-kajian menunjukkan penggunaan pembelajaran koperatif boleh menyumbang kepada peningkatan kognitif dan afektif. Antara faedah yang diperolehi oleh pelajar menerusi pembelajaran koperatif ialah meingkatkan pengetahuan, kemahiran, pemahaman konseptual, sikap, motivasi, harga diri, usaha untuk mencapai sesuatu, kemahiran berkomunikasi dan sosial serta memberi kesan psikologi dan keupayaan untuk menerima perspektif orang lain.

1.3              Mengapa Perlunya Pembelajaran Koperatif
Pendekatan pembelajaran konvensional pada masa kini sudah tidak releven kerana pelajar kurang mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Pelajar menerima sahaja pengajaran yang diajar oleh guru tanpa soal jawab. Hal ini kerana guru tidak memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya atau mungkin pelajar malu dan tidak tahu soalan yang hendak diajukan. Dalam pengajaran konvensional, guru mengambil terlalu banyak masa untuk mengajar dan menunjukkan cara penyelesaian kepada sesuatu masalah. Pengajaran guru yang terlalu cepat untuk menjelaskan sesuatu konsep matematik juga tidak membantu pelajar menyelesaikan masalah. Maka dengan itu, pembelajaran koperatif amat diperlukan bagi mentransformasikan pendekatan berpusatkan guru kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Menerusi kerja kumpulan yang dilaksanakan dengan baik dan sistematik boleh memberi ruang kepada pelajar menguasai kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Unsur-unsur seperti tanggungjawab individu, kemahiran sosial dan pembentukan semangat berkumpulan harus ditekankan dalam pembelajaran koperatif. Penggunaan pembelajaran koperatif boleh meningkatkan pemahaman pelajar tentang bagaimana fakta dan prosedur berkait antara satu sama lain dan adalah berkesan dalam pembelajaran yang kompleks seperti penyelesaian masalah.

No comments:

Post a Comment