Implikasi daripada Pembelajaran Koperatif



  
8.1       Implikasi Kepada Guru
Fokus dalam pengajaran harus diberi kepada peningkatan aspek kognitif dan metakognitif yang merupakan kunci kepada penyelesaian masalah. Pendekatan pengajaran yang melibatkan peranan aktif pelajar mampu meningkatkan prestasi pelajar. Guru perlu mengambil tindakan yang proaktif dalam menjalankan sebarang perubahan pengajaran kerana memberi kesan kepada pembelajaran matematik pelajar. Ini bermakna pengajaran berpusatkan pelajar seperti pembelajaran koperatif perlu menjadi amalan pengajaran di bilik darjah.

8.2       Implikasi Kepada Pelajar
Pembelajaran koperatif merupakan satu pendekatan yang sesuai bagi pelajar mengambil bahagian secara aktif di dalam pembelajaran bagi menyelesaikan masalah. Pelajar digalakkan belajar secara berkumpulan dan saling membantu antara satu sama lain. Sokongan dan dorongan guru boleh memotivasikan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti perbincangan. Guru menggalakkan pelajar membuat refleksi terhadap kerja yang mereka lakukan. Kejayaan pelajar bergantung kepada penglibatan pelajar, kerjasama guru dan pelajar serta suasana kondusif untuk belajar. Kebanyakan pelajar mempunyai pandangan positif terhadap pembelajaran koperatif dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan.

8.3       Pertimbangan Pelaksanaan
Beberapa perkara harus dipertimbangkan sebelum melaksanakan pembelajaran koperatif. Antaranya adalah sokongan pentadbiran, latihan guru, kolaborasi antara guru dan latihan pelajar. Budaya sekolah mestilah selari dengan kehendak perubahan dan memberi perhatian kepada keperluan guru dan pelajar. Kemudahan dan kerjasama yang diberikan dari segi material, fizikal dan psikologi boleh mengurangkan bebanan dan tanggungjawab guru. Isu latihan guru juga adalah penting kerana kebanyakan guru dilatih dengan kaedah tradisional. Latihan intensif boleh memainkan peranan mempercepatkan perkembangan guru. Guru boleh belajar antara satu sama lain bagi mengkaji kekuatan dan kelemahan sesuatu pelaksanaan. Sokongan dan galakan akan memberikan motivasi dan keyakinan kepada mereka. 

            Pelajar harus dilatih cara menghadapi persekitaran yang baru, iaitu pembelajaran koperatif. Kemahiran berkomunikasi seperti kemahiran mendengar, kemahiran menerima dan kemahiran menyatakan sesuatu dengan jelas perlu menjadi keutamaan selain daripada saling percaya, bertolak ansur, dan sikap terbuka terhadap sesuatu idea. Selain itu, pelajar harus mempunyai semangat dan kerjasama yang tinggi supaya wujud semangat kerja berpasukan.

No comments:

Post a Comment