Unsur-unsur Keberkesanan dalam Pembelajaran Koperatif



   
4.1       Persandaran Positif
Persandaran positif merujuk kepada persepsi bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada kejayaan individu-individu yang lain dalam kumpulannya. Pelajar bukan sahaja mengambil berat terhadap pembelajarannya, malah terhadap rakan yang lain dalam kumpulannya. Matlamat kumpulan adalah penting kerana seseorang pelajar tidak akan berjaya mencapai matlamatnya tanpa kerjasama ahli kumpulan yang lain. Perkembangan seseorang adalah bergantung kepada interaksi dengan orang lain. Persandaran sosial boleh diteguhkan dengan cara pemberian bonus. Persandaran positif boleh digalakkan dengan pengagihan sumber iaitu setiap ahli diberi sebahagian daripada keseluruhan maklumat atau masalah dan diminta melengkapkannya. Selain itu, main peranan juga penting di mana pelajar berperanan sebagai pembaca, pemeriksa dan pemberi galakan dalam kumpulan masing-masing. Meraikan kejayaan sesuatu kumpulan boleh meningkatkan lagi kualiti kerjasama dalam kumpulan. 

4.2       Tanggungjawab Individu
Akauntabiliti individu dicerminkan melalui tanggungjawab setiap ahli untuk berkembang dalam zon perkembangan proksimalnya. Dalam menstruktur tanggungjawab individu, Johnson et al. (1994) menyenaraikan perkara-perkara berikut:
(a)    Membentuk kumpulan kecil supaya setiap orang mempunyai peluang untuk memberi sumbangan.
(b)   Memberi ujian individu kepada setiap ahli.
(c)    Memilih pelajar secara rawak bagi mempersembahkan hasil kerjanya.
(d)   Membuat catatan tentang penglibatan pelajar dalam kumpulan.
(e)    Memilih seorang ahli dalam kumpulan yang berperanan untuk meminta setiap ahli dalam kumpulannya menjelaskan rasional jawatan kumpulan.
(f)    Meminta pelajar menjelaskan kepada kumpulan apa yang mereka telah pelajari.

4.3       Interaksi Promotif
Interaksi promotif adalah melibatkan peranan setiap individu dalam kumpulan memberi galakan untuk kejayaan kumpulan. Interaksi promotif wujud jika setiap individu memberi galakan dan memudahkan usaha antara mereka untuk menyiapkan tugasan bagi mencapai matlamat kumpulan. Dengan menolong serta memberi bantuan, galakan dan pujian terhadap sesama ahli, boleh menggalakkan lagi kejayaan kumpulan. Johnson et al. (1994) memberi tiga langkah untuk menggalakkan interaksi, iaitu menetapkan masa pertemuan, persandaran positif dan menggalakkan interaksi promotif dalam kalangan ahli.

4.4       Kemahiran Sosial
Keberkesanan pembelajaran koperatif bergantung kepada kemahiran-kemahiran interpersonal individu kerana bekerja dalam kumpulan, bukanlah semudah yang dijangkakan dan kemahiran itu tidak terjadi dengan sendirinya. Kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil adalah penting bagi kejayaan kumpulan seperti kemahiran memimpin, membuat keputusan, saling mempercayai, komunikasi dan pengurusan konflik. Kemahiran-kemahiran interpersonal asas seperti mendengar, memberi maklum balas positif, berkongsi bahan dan kerja, memberi dan menerima pertolongan dan mengendalikan gangguan ahli-ahli harus diberi perhatian. Semakin tinggi kemahiran seseorang itu bekerja dalam kumpulan maka kualiti dan kuantiti pembelajaran juga meningkat.

4.5       Penilaian Kumpulan
Penilaian kumpulan merujuk kepada kelemahan dan keberkesanan aktiviti kumpulan yang dijalankan. Penilaian kumpulan mempunyai dua tujuan. Pertama, penilaian kumpulan boleh digunakan untuk menentukan perkara yang baik dan perkara yang perlu ditingkatkan. Kedua, penilaian kumpulan boleh digunakan untuk membuat keputusan tentang perkara yang harus diteruskan dan perkara yang perlu diubahsuai. Penilaian dan pengesanan yang kerap adalah perlu bagi menjayakan kumpulan serta memberi cabaran berterusan kepada individu dalam zon perkembangan proksimalnya.

1 comment:

  1. assalam.. boleh tak nak tahu rujukan bagi maklumat di atas untuk bantu saya menyiapkan tesis.. tksih

    ReplyDelete