2.1 Konstruktivisme
Terdapat tiga aspek berkaitan
pembentukan rasional dalam teori pembelajaran yang dikenali sebagai
konstruktivisme. Pertama, pembelajaran adalah satu proses membentuk ilmu dan
bukannya penyerapan ilmu. Kedua, individu menggunakan pengetahuan sedia ada
untuk membentuk pengetahuan yang baru. Ketiga, pembelajaran bergantung kepada
situasi setempat. Teori Piaget dan Vygotsky telah memberikan asas kepada teori
konstruktivisme. Mereka berpendapat bahawa resolusi konflik dan interaksi
sosial memainkan peranan penting dalam pembinaan ilmu pengetahuan. Menurut
Jaworski (1993), pembelajaran adalah proses yang membandingkan pengalaman baru
dengan pengetahuan yang dibina dari pengalaman lama dan ini mengukuhkan lagi
pengetahuan tersebut. Interaksi sosial adalah penting dalam pengetahuan
tersebut dan menyumbang kepada pembinaan pengetahuan individu.
2.2 Teori Piaget
Teori Piaget berasaskan kepada
premis bahawa apabila individu bekerjasama atas persekitarannya, konflik
sosio-kognitif akan berlaku dan ini akan mewujudkan ketidakseimbangan kognitif
dan seterusnya mencetuskan perkembangan kognitif. Menurut Piaget, pemikiran adalah hasil
transaksi di antara individu dengan persekitarannya. Fokus Piaget adalah kepada
proses perkembangan kognitif, iaitu individu memahami konsep abstrak melalui
pengalaman. Teori perkembangan ini melibatkan proses-proses asimilasi,
akodomasi, dan ekuilibrasi (Wadsworth, 1984). Asimilasi adalah proses kognitif
apabila seseorang menyepadukan persepsi baru, motor atau konsepsi kepada skema
sedia ada. Akomodasi pula adalah pembinaan skema baru atau modifikasi dari
skema lama untuk berasimilasi dengan maklumat baru yang tidak sepadan dengan
skema sedia ada. Pemboleh ubah kritikal dalam perkembangan kognitif adalah
kematangan, pengalaman, interaksi sosial dan ekuilibrasi. Piaget berpendapati
interaksi yang melibatkan perbezaan status seperti pengetahuan, berkemungkinan
membuatkan seseorang itu menyetujui sahaja tentang sesuatu tanpa pemeriksaan
tentang idea-idea tersebut. Bagi yang mempunyai status sosial yang sama pula,
walaupun mereka mempunyai perspektif yang berbeza namun mereka berkemungkinan
akan mengambil bahagian dalam perbincangan dalam menyelesaikan masalah secara
bersama.
2.3 Teori Vygotsky
Teori Vygotsky berdasarkan kepada
premis bahawa pengetahuan terbina daripada interaksi kumpulan dalam
menyelesaikan masalah. Daripada perspektif Vygotsky, interaksi interpersonal
membantu memperkembangkan pengetahuan individu. Perkembangan individu tidak
boleh difahami tanpa merujuk kepada konteks sosial dan budaya sekelilingnya.
Vygotsy (1978) menekankan perhubungan sosial antara individu merupakan langkah
pertama dalam pembinaan idea untuk dihayati oleh individu terbabit, bagi
mencapai peringkat kognitif yang lebih tinggi. Setiap fungsi dalam perkembangan
budaya melalui dua tahap. Pertama, tahap sosial dan tahap kedua adalah tahap
individu iaitu pada permulaannya antara manusia dan kemudiannya dalam individu.
Fungsi mental peringkat tinggi adalah berasal daripada sosial. Salah satu
daripadanya adalah zon perkembangan proksimal. Zon perkembangan proksimal
adalah satu gagasan yang dinamik yang menerangkan isu pembelajaran dan
perkembangan kognitif. Zon ini adalah jarak antara peringkat perkembangan
sebenar dengan peringkat perkembangan potensi individu yang ditentukan dengan
bantuan orang dewasa atau kolaborasi antara rakan-rakan yang berkebolehan.
Implikasi daripada zon perkembangan proksimal ini ialah seseorang pelajar yang
berkolaborasi dengan rakan sebaya atau orang dewasa yang lebih berkeupayaan,
akhirnya akan dapat menyelesaikan masalah yang susah dan kompleks. Perkembangan
kognitif bagi Vygotsky bermakna menyelesaikan masalah dengan kerjasama individu
yang lain.
2.4 Perspektif Motivasi
Perspektif motivasi adalah
berdasarkan kepada teori perlakuan yang menyatakan seseorang itu akan berusaha
kuat apabila sesuatu tugasan diikuti dengan ganjaran dan akan gagal
menyempurnakan tugasan apabila tiada ganjaran, atau diikuti dengan hukuman.
Bagi mencapai sesuatu matlamat, ahli kumpulan harus bekerjasama, memberi
galakan dan berusaha semaksimum mungkin bagi mendapatkan kejayaan kumpulan.
Pemberian ganjaran yang berasaskan pencapaian kumpulan akan mewujudkan struktur
ganjaran interpersonal iaitu ahli kumpulan sama ada memuji, memberi galakan
atau sebaliknya terhadap rakan sekumpulan berdasarkan sumbangannya kepada
kumpulan.
2.5 Perspektif Kepaduan Sosial
Perspektif kepaduan sosial
menyatakan kesan pembelajaran koperatif ke atas pencapaian pelajar adalah
disebabkan terdapat kepaduan dalam kumpulan. Pelajar membantu satu sama lain
untuk belajar kerana mereka saling mengambil berat antara satu sama lain dan
inginkan setiap orang mencapai kejayaan. Perspektif kepaduan sosial memberi
penekanan kepada aktiviti-aktiviti pembinaan pasukan sebelum menjalankan pembelajaran
koperatif. Penilaian kumpulan dilakukan sebelum dan selepas setiap aktiviti.
Ganjaran juga harus diberi kepada kumpulan yang berjaya mencapai tahap
tertentu.
2.6 Teori Kesalingbergantungan Sosial
Teori kesalingbergantungan sosial
adalah berdasarkan kepada premis bahawa interaksi antara individu dan hasil
daripadanya adalah ditentukan oleh jenis struktur yang digunakan. Terdapat dua
jenis kesalingbergantungan sosial, iaitu koperatif dan kompetitif. Dalam
struktur koperatif, setiap individu boleh mencapai matlamatnya jika
rakan-rakannya juga mencapai matlamatnya. Mereka bekerjasama untuk mencapai
matlamatnya. Pengalaman koperatif yang mewujudkan saling membantu antara satu
sama lain boleh menggalakkan pencapaian dan produktiviti, kesihatan fizikal dan
psikologi dan berjaya mengawal tekanan dan kesusahan. Dalam struktur
kompettitif pula, individu-individu bersaing antara satu sama lain untuk
mencapai matlamatnya. Ini adalah situasi apabila individu bergantung secara
negatif antara satu sama lain. Ini bermakna rakan-rakannya akan gagal mencapai
matlamatnya. Hasilnya adalah menguntungkan diri sendiri di atas kegagalan orang
lain. Struktur kompetitif boleh menggalakkan persaingan.
No comments:
Post a Comment