Model-model Pembelajaran Koperatif



 
Antara model yang dikaji dan telah digunakan dalam pembelajaran koperatif adalah Student Teams-Achievement Division (STAD), Team-Games-Tournament (TGT), Jigsaw, Team Accelerated Instruction (TAI) atau juga disebut Team Assisted Individualization, Groups of Four, Learning-Together, Group Investigation, dan Exchange-of-knowledge. Setiap kaedah ini membahagikan pelajar kepada kumpulan heterogenus. Heterogenus ditakrifkan dari segi pencapaian akademik, jantina dan latar belakang etnik.
            3.1       Student Teams-Achievement Division (STAD)
STAD sesuai diaplikasikan bagi pengajaran yang mempunyai objektif yang jelas seperti pengiraan dan aplikasi dalam matematik, bahasa geometri dan kemahiran peta serta konsep sains. Pelajar dibahagi kepada empat atau lima orang. STAD mengandungi empat aktiviti utama iaitu persembahan dan penyampaian guru, bekerja dalam kumpulan, ujian/kuiz dan pengiktirafan kumpulan. Guru perlu menerangkan kepada pelajar yang mereka perlu membantu rakan supaya mahir berkaitan isi kandungan pembelajaran yang dipelajari. Di akhir pembelajaran, pelajar mengambil kuiz secara individu dan skor markah individu diberikan berdasarkan pencapaian lepas individu. Markah yang diperoleh setiap individu dijumlahkan untuk mendapat markah kumpulan dan kumpulan yang memenuhi kriteria tertentu akan menerima ganjaran. Ini bermakna ganjaran kumpulan adalah berdasarkan peningkatan individu dalam kumpulan. Dua prinsip utama yang ditekankan dalam STAD adalah persandaran positif dan tanggungjawab individu. Idea utama dalam STAD adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar supaya memberi galakan dan bantuan kepada rakan-rakannya.

            3.2       Team-Games-Tournament (TGT)
TGT adalah serupa dengan STAD kecuali kuiz digantikan dengan permainan. Pertandingan mingguan diadakan di antara tiga orang pelajar pencapaian tinggi dalam setiap kumpulan. Tiga orang dalam pencapaian rendah juga bertanding sesama mereka. Pelajar yang mempunyai skor yang tinggi akan bergerak ke atas dan bertanding pada minggu yang berikutnya, pelajar yang mempunyai skor yang rendah akan turun ke bawah. Ini adalah untuk memastikan pertandingan adalah di antara kumpulan yang setara. Ganjaran akan diberi kepada kumpulan yang mempunyai skor yang tinggi.

            3.3       Team Assisted Individualization (TAI)
TAI adalah kombinasi pembelajaran kumpulan dan pembelajaran individu. TAI dibina untuk sekolah rendah, tetapi pernah juga digunakan untuk peringkat sekolah yang lebih tinggi. Setiap kumpulan mengandungi empat hingga lima orang pelajar yang ditempatkan di unit yang sesuai, berdasarkan Ujian Diagnostik. Pelajar belajar mengikut set unit yang telah ditetapkan berdasarkan keupayaan mereka dan memilih pasangan yang sesuai. Ujian akan diberikan dan skor ujian yang dikumpul dalam seminggu akan dijadikan skor kumpulan. Pengiktirafan seperti sijil akan diberi kepada kumpulan yang pencapaiannya melebihi pencapaian sedia ada.

            3.4       Jigsaw
Slavin (1995a) telah membuat modifikasi kepada model Jigsaw Aronson dan menamakannya Jigsaw II. Dalam Jigsaw II, pelajar berada dalam kumpulan empat hingga lima orang. Setiap pelajar dalam kumpulan akan menerima topik-topik tertentu untuk menjadi mahir. Pelajar-pelajar dalam kumpulan lain yang mempunyai topik yang sama akan bertemu untuk berbincang kemudiannya kembali ke kumpulan asal untuk menyampaikan maklumat yang didapatinya. Setiap pelajar akan mengambil kuiz secara individu. Ganjaran kumpulan akan diberikan. Individu akan berbincang sesuatu bidang yang sama dengan rakan dalam kumpulan lain. Pelajar tersebut diharap menjadi pakar dalam bidang tersebut. Individu pakar tersebut akan balik ke kumpulan asal bagi menjelaskan, menerangkan dan berbincang dengan ahli-ahlinya yang lain secara bergilir. 

            3.5       Groups of Four
Burns (1990) memperkenalkan Groups of Four dalam menyelesaikan masalah matematik. Pelajar dipecahkan kepada kumpulan heterogenus berempat secara rawak. Ahli-ahli dalam sesuatu kumpulan tidak akan berada lama, kumpulan akan dirombak dalam masa seminggu atau dua minggu sekali. Terdapat beberapa syarat telah ditetapkan kepada pelajar. Pertama, pelajar bertanggungjawab terhadap kerja dan perlakuannya. Kedua, pelajar mesti membantu ahli kumpulan yang bertanya. Ketiga, pelajar hanya dibenarkan bertanya guru apabila setiap orang mempunyai soalan yang sama. Guru perlu memberi penekanan kepada proses penyelesaian masalah daripada mementingkan jawapan yang betul. Guru juga harus menggalakkan pelajar memberi penjelasan tentang sesuatu kerja yang dijalankan.

3.6       Learning-Together
Learning Together oleh Johnson dan Johnson, (1994, 1999b) perlu mengandungi perkara-perkara berikut: (a) penggunaan tiga jenis prosedur pembelajaran koperatif secara bersepadu iaitu pembelajaran koperatif secara formal, pembelajaran koperatif secara tidak formal dan kumpulan koperatif asas; (b) setiap aktiviti pembelajaran koperatif perlu mengandungi unsur-unsur seperti persandaran positif, interaksi promotif, akauntabiliti individu, kemahiran sosial dan penilaian kumpulan; (c) pelajaran rutin dalam kelas perlu kepada struktur koperatif; dan (d) struktur pengurusan sekolah perlu ditukar struktur kompetitif / individualistik kepada struktur koperatif kerja berpasukan. Pembelajaran koperatif secara formal melibatkan pelajar bekerjasama selama waktu kelas hinggalah ke beberapa minggu. Tujuannya untuk melengkapkan tugasan serta mencapai matlamat yang dikongsi bersama-sama. Pembelajaran koperatif secara tidak formal pula adalah melibatkan pelajar bekerjasama dalam kumpulan sementara iaitu sehingga satu waktu kelas. Kumpulan koperatif asas pula adalah kumpulan koperatif heterogenus yang dibentuk untuk jangka masa panjang. Tujuan kumpulan ini adalah untuk memberi soskongan, bantuan, galakan serta perkembangan kognitif dan sosial.

3.7       Group Investigation
Shlomo dan Yael Sharan membina model Group Investigation dengan mengumpulkan pelajar dalam kumpulan koperatif mengikut minat yang sama dalam sesuatu topik (Sharan & Sharan, 1990). Ahli kumpulan membahagi-bahagikan kerja mereka dan merancang bagaimana mengkaji topik tersebut. Setiap ahli memainkan peranan masing-masing secara individu. Ahli kumpulan akan berkumpul kembali untuk menyatukan idea dan membuat rumusan bagi persembahan kelas.

3.8       Exchange-of-knowledge
Leikin dan Zaslavsky (1999) memeprkenalkan model Exchange-of-knowledge. Model ini menekankan penyelesaian masalah yang kompleks dan melibatkan aktiviti-aktiviti yang memerlukan seseorang memberi penerangan kepada rakan-rakan yang lain tentang idea dan prinsip matematik bagi mendapatkan jawapan dalam penyelesaian masalah. Kaedah ini menggunakan set kepingan kad yang terdiri daripada 2, 4 atau 6 kad. Setiap kad mewakili satu unit pembelajaran. Pada kepingan kad diberikan contoh penyelesaian sesuatu masalah (contoh, kad 1) dan diiringi dengan soalan yang berkaitan (kad 2). Kaedah ini memerlukan pelajar belajar secara berpasangan dalam kumpulan yang mengandungi empat orang pelajar. Perjalanannya adalah seperti berikut:
(a)    Pelajar berada secara berpasangan dalam kumpulan. Setiap pelajar diberikan kad.
(b)   Setiap pelajar dalam kumpulan asal berpecah kepada kumpulan pakar dan setelah berbincang, pelajar kembali ke kumpulan asal.
(c)    Setiap pelajar dikehendaki menerangkan kepada pasangannya tentang perkara yang dibincangkan dalam kumpulan pakar. Setelah perbincangan selesai, pelajar bolehlah menyelesaikan masalah yang terdapat pada kad berkenaan.
(d)   Langkah 3 diulang sehinggalah semua pelajar dalam kumpulan masing-masing telah menyelesaikan semua soalan.

No comments:

Post a Comment