Sunday, 13 December 2015

ISU 1 - ASAL USUL, TUJUAN, STRUKTUR PENDIDIKAN DI MALAYSIA



Perbincangan berkaitan asal-usul, tujuan dan struktur pendidikan di Malaysia.
 
1. Kelebihan perubahan dasar sistem pendidikan dari semasa ke semasa.
a)    Dasar sistem pendidikan berubah mengikut era pembangunan Negara dan perkembangan teknologi maklumat.
b)  Bermula dari kemahiran asas pembelajaran matematik, dasar telah berkembang kepada pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan kritis serta kemahiran berfikir aras tinggi.
c)     Kemahiran berfikir aras tinggi menjadi tumpuan utama pada masa kini. Setiap soalan yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada penyelesaian masalah. Penerapan KBAT dalam PdP secara tidak langsung dapat memupuk murid untuk berfikir dengan mengaitkan teori matematik yang telah dipelajari. Melalui KBAT, murid dapat mengeluarkan idea tanpa batasan bagi melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan.
d)  Penerapan dan penggunaan teknologi maklumat dalam PdP dapat meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai pembelajaran matematik secara berkesan. Penggunaan perisian seperti ‘geometri sketch pad’, ‘geo gebra’ dan lain-lain boleh meningkatkan kefahaman murid dengan menerokai dan menimba pengalaman sendiri mencari penyelesaian kepada soalan yang dikemukakan.

      2. Kepentingan matlamat dan tujuan pendidikan Matematik.
a) Matlamat dan tujuan pendidikan yang digariskan selaras dengan perkembangan pembelajaran murid yang menekankan konsep JERIS iaitu melibatkan perkembangan murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
b)  Murid diharap agar dapat menguasai kemahiran matematik di setiap aras pembelajaran supaya dapat diaplikasikan dalam situasi harian.
c)   Matlamat dan tujuan pendidikan Matematik dapat dipenuhi dan tercapai sekiranya guru menerapkan kaedah dan strategi pengajaran yang lebih bermakna. Antara kaedah yang boleh digunakan bagi meningkatkan kefahaman murid dan melibatkan murid adalah dengan kaedah pembelajaran kooperatif. Melalui pembelajaran kooperatif, murid dapat melibatkan diri sepenuhnya dalam proses penerimaan ilmu matematik dan dapat menerapkan kaedah komunikasi yang terbaik dalam kalangan rakan sebaya. Selain itu, guru juga boleh menggunakan kaedah pengajaran ‘Pembelajaran Berasaskan Projek’ di mana murid mengeluarkan idea dengan berbincang di dalam kumpulan yang dibentuk untuk menghasilkan suatu model berdasarkan konsep yang telah dipelajari. Melalui pembelajaran ini, murid dapat mengeluarkan idea-idea yang bernas bagi menghasilkan satu prototaip yang terbaik hasil gabungan cetusan idea daripada ahli kumpulan. Murid juga diajar untuk membentangkan hasil projek yang dihasilkan. Secara tidak langsung, guru dapat mendidik murid untuk lebih berketerampilan dan berani untuk berkomunikasi melalui pembentangan hasil prototaip.

      3. Kekuatan struktur pendidikan Matematik.
a)      Kurikulum yang dirancang dan diatur bermula dari pendidikan matematik sekolah rendah ke peringkat pendidikan matematik dan matematik tambahan sekolah menengah mengandungi komponen bidang yang telah disusun atur mengikut aras kesukaran dan keperluan pembelajaran semasa. Murid sekolah rendah diperkenalkan dengan konsep asas matematik yang menjadi tunjang utama bagi meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya. Pembelajaran matematik di sekolah menengah diteruskan dengan pembelajaran yang lebih menjurus kepada soalan KBAT yang lebih kompleks. Murid yang mengambil mata pelajaran matematik tambahan diperkenalkankan dengan komponen algebra, statistik, trigonometri, kalkulus dan geometri yang menjadi asas kepada pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
b)  Penilaian dan pentaksiran yang dilaksanakan pada hari ini adalah secara bersepadu dan berterusan. Pentaksiran pusat yang meliputi UPSR, PT3 dan SPM dapat menilai tahap penguasaan murid sepanjang proses PdP berlaku dalam tempoh jangka panjang. Pentaksiran sumatif dan formatif pula dapat menggambarkan tahap pemerolehan ilmu bagi seseorang murid dalam tempoh jangka pendek.
c) Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula sejak tahun 2012 merupakan satu dasar yang dibentuk bagi melahirkan insan yang memiliki pelbagai kemahiran. Komponen PBS terbahagi kepada empat iaitu pentaksiran sekolah (PS), pentaksiran psikometrik (PPsi), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum (PAJSK), serta pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Pelaporan bagi setiap komponen diserahkan kepada murid mengikut tingkatan. Murid tingkatan 1 menerima 3 pelaporan yang terdiri daripada PS, PAJSK dan PPsi. Murid tingkatan 2 menerima 2 pelaporan iaitu PS dan PAJSK manakala murid tingkatan 3 menerima 4 pelaporan yang terdiri daripda PS, PAJSK, PPsi dan PT3. PBS merupakan satu penilaian dan pentaksiran yang berterusan dan menyeluruh kerana telah dirangkumkan dalam kurikulum pendidikan matematik dengan berpandukan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM). Penyataan deskriptor yang dibina dinilai semasa proses PdP berlangsung. 

No comments:

Post a Comment