1. Kepelbagaian
Teknik dan Kaedah Pengajaran
Peranan utama guru dalam
meningkatkan kefahaman pelajar adalah dengan pendedahan dan penggunaan teknik
pengajaran dan kaedah pengajaran yang berkesan. Seperti yang kita sedia maklum
bahawa teknik pengajaran yang berpusatkan murid adalah lebih efektif dan dapat
meningkatkan tahap kefahaman murid dan menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) lebih bermakna. Terdapat banyak kaedah pengajaran yang boleh
diaplikasikan di dalam kelas seperti pembelajaran koperatif, pembelajaran
inkuiri penemuan, pembelajaran berbentuk konstruktivisme, dan pembelajaran
berasaskan projek. Penglibatan murid yang aktif dalam proses PdP melalui
pendekatan yang sistematik dapat memandu murid dalam melaksanakan tugasan yang
diberi dengan jayanya. Dalam melaksanakan sesuatu kaedah pengajaran, guru perlu
merancang sebelum melaksanakan sesuatu kaedah pengajaran. Hal ini bagi
mengelakkan pembaziran masa berlaku semasa proses PdP berlangsung. Penyediaan
peralatan yang mencukupi juga dapat melancarkan proses PdP dan meningkatkan
kesediaan murid dalam meneruskan proses PdP.
Setiap guru perlu menguasai
pengetahuan pedagogi isi kandungan. Guru perlu bijak dalam memilih strategi dan
kaedah pengajaran dan mengaitkan dengan isi kandungan pembelajaran. Kaedah
penyampaian isi kandungan yang baik dapat meningkatkan kefahaman murid dalam
menguasai sesuatu topik dengan berkesan. Kajian menunjukkan bahawa pengalaman
mengajar berdasarkan tempoh perkhidmatan guru mempengaruhi tahap pengetahuan
pedagogi isi kandungan terhadap subjek yang diajar. Guru yang telah berkhidmat
dalam tempoh yang lama telah mengkaji kekuatan, kelemahan dan teknik
penyampaian pengajaran yang berkesan untuk dipraktikkan pada masa hadapan.
Namun begitu, terdapat juga guru yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat
telah dapat menguasai pengetahuan pedagogi isi kandungan dengan baik. Hal ini
kerana institusi pengajian tinggi dan institut pengajian guru telah menyediakan
kursus yang telah dikhaskan berkaitan dengan penguasaan pengetahuan pedagogi
isi kandungan tersebut. Terserah kepada setiap individu yang bergelar guru
untuk meletakkan di mana kedudukan dan keinginannya untuk menguasai sesuatu
perkara yang baharu bagi meningkatkan profesionalisme perguruannya.
2. Kepimpinan
Pentadbiran Sekolah
Pentadbiran sekolah merujuk
kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menggerakkan sesuatu agenda yang
difikirkan boleh memberi manfaat dan kebaikan kepada organisasi yang ditadbir.
Pihak pentadbir merancang dan menyampaikan maklumat berkaitan dasar yang telah
ditetapkan oleh pihak KPM. Pihak pentadbir perlu menyampaikan maklumat kepada
semua guru berkaitan perkara yang perlu dilaksanakan terutamanya berkaitan
dengan PdP. Guru perlu digerakkan dan dimaklumkan matlamat, objektif dan
sasaran yang ingin dicapai oleh pihak sekolah.Pentadbir yang aktif akan
sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan
guru dari semasa ke semasa. Ketegasan dan kepimpinan pihak pentadbir
akan dapat meningkatkan produktiviti hasil kerja guru. Maka dengan itu guru
tidak akan mengambil mudah berkaitan sesuatu tugasan yang diberikan.
3. PdP
Kelas Abad ke-21, KBAT dan TMK.
Dunia pendidikan pada hari ini
memberi penekanan kepada pembelajaran berpusatkan pelajar di mana guru
bertindak sebagai pemudah cara dan fasilitator. Semangat kerja berkumpulan
mewujudkan interaksi sosial antara pelajar dan guru. Hal ini memberi kesan
positif dalam peningkatkan semangat setiakawan dan pergaulan dalam kalangan
pelajar. Di sebalik pelaksanaan PdP kelas abad ke-21, terdapat beberapa
kekangan yang menghalang pelaksanaan PdP kelas abad ke-21 antaranya adalah
bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam satu kelas, saiz kelas yang terlalu
sempit, saiz kumpulan yang dibentuk terdiri daripada 6 hingga 7 orang pelajar,
kos membeli peralatan yang dieperlukan serta kerjasama yang diberikan oleh
pelajar semasa proses PdP berlangsung.
Pendedahan kepada pemikiran
kreatif dan kritis telah menjadi trend dan keperluan pada masa kini. Soalan
yang dibentuk adalah berdasarkan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Pelajar dibimbing untuk menyelesaikan tugasan yang diberi bagi meningkatkan kemahiran
berfikir bagi memudahkan mereka mengaplikasikan konsep yang dipelajari di dalam
kehidupan seharian mereka. Pelajar digalakkan berfikir bagi mendapatkan
penyelesaian seterusnya dapat mencetuskan pelbagai idea dan kreativiti
berdasarkan pemikiran kreatif tersebut. Selaras dengan dasar Saince, Technologi, Engenering dan
Mathematics (STEM), guru digalakkan mencungkil bakat pelajar dalam mencipta
sesuatu yang baru. Melalui cetusan idea yang diberikan oleh pelajar, maka satu
rekaan yang unik dan menarik akan dapat dihasilkan. Salah satu kaedah yang
boleh diterapkan di dalam PdP adalah Pembelajaran Berasaskan Projek, dimana
pelajar diberi ruang dan peluang bagi menghasilkan sesuatu yang difikirkan
menarik dan berkait dengan isi kandungan pembelajaran. Hal ini akan dapat
meningkatkan kemahiran dan tahap kefahaman pelajar berkaitan topik yang
dipelajari dan dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
No comments:
Post a Comment