1.
Proses pemilihan guru diperhalusi
Pemilihan calon guru yang layak
untuk menceburi bidang keguruan sangat penting. Sebagai seorang guru, faktor
keupayaan menyesuaikan diri dengan
persekitaran kerja dalam bentuk kesesuaian jenis peronaliti seseorang dengan
persekitaran itu sangat dititikberatkan. Apabila jenis personaliti tersebut
tidak sepadan dengan persekitarannya, maka berlakulah punca kepada sikap tidak
berminat terhadap kerja mahupun perkembangannya (Holland, 1973). Sekiranya
profesion ini adalah pilihan yang terakhir bagi guru, minat utama terhadap
profesion ini sebenarnya hanya sedikit sahaja dan akibatnya selepas 2 atau 3
tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian yang
dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian ‘Burn-out’ terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa
guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat
sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi ( Zahid, 1998 ).
Seterusnya, pihak
kementerian perlu mengurangkan penempatan guru sandaran tidak terlatih. Kekosongan
jawatan guru sama ada di sekolah rendah mahu pun menengah biasanya diisi oleh
guru sandaran yang tidak mendapat latihan secara formal sama ada di maktab
perguruan atau pun universiti. Kita tidak dapat nafikan mengenai keperluan
mengisi kekosongan tersebut atas dasar pendidikan pelajar di sekolah. Tetapi
pandangan masyarakat terhadap profesion
keguruan ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila ada sesetangah pihak yang
menganggap tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat tertentu, mereka
masih boleh menjadi seorang guru. Sepatutnya, Bahagian Dasar dan Penyelidikan
Pendidikan mengambil langkah yang proaktif terhadap masalah yang dihadapi.
Lambakan guru-guru sandaran tidak terlatih di sekolah dengan sendirinya akan
merendahkan martabat profesion keguruan tersebut. Sepatutnya kekosongan jawatan
guru di sekolah menengah diisi dengan kehadiran guru-guru yang telah menamatkan
pengajian secara separuh masa atau PJJ yang terlalu ramai di sekolah rendah,
manakala di peringkat sekolah rendah pula diisi dengan guru-guru lepasan
diploma dari maktab perguruan.
Penyertaan guru dalam kesatuan
perlu dipertingkatkan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh kesatuan
guru ( samada KPPK atau KGMMB ), hampir 60% guru-guru di Malaysia tidak
mendaftar sebagai ahli di mana-mana kesatuan guru pun. Ini menunjukkan bahawa
guru sendiri tidak berminat terhadap kesatuan yang dibentuk oleh guru untuk
kebajikan guru-guru itu sendiri. Segala masalah yang berkaitan dengan bidang
perguruan sama ada dari segi perjawatan, ganjaran mahupun kebajikan sepatutnya
disalurkan melalui kesatuan dan akhirnya akan disampaikan kepada pihak kementerian
supaya diambil tindakan. Sekiranya kesatuan guru sendiri tidak mendapat
sokongan padu daripada kalangan guru sendiri, bagaimanakah nasib guru hendak
terbela dan apakah martabatnya profesion keguruan tersebut.
2. Cadangan
mempertingkatkan kualiti guru
Guru yang menceburi profesion keguruan
seharusnya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal. Disiplin diri menjadi
fokus utama dalam meningkatkan kualiti sesuatu pekerjaan. Guru yang berjaya
adalah guru yang mementingkan disiplin. Ketepatan masa sangat dititikberatkan
dalam melaksanakan tugasan setiap hari. Kehadiran ke sekolah, kehadiran
menghadiri mesyuarat dan yang paling penting kehadiran ke kelas memerlukan guru
menepati masa. Guru yang berkualiti adalah guru yang memiliki disiplin yang
tinggi.
Seperti yang kita sedia maklum bahawa, di
sekolah terdapat lebih kurang 100 sistem yang perlu diterokai dan dikuasai oleh
setiap orang guru. Guru perlu bersedia dan berusaha dalam mempelajari setiap
sistem yang diperkenalkan. Kursus dan bimbingan berterusan perlu diberikan
kepada guru dalam memastikan setiap sistem yang diperkenalkan dapat
dimanfaatkan sebaiknya ke arah kebaikan. Guru yang positif akan sentiasa
bersedia menerima sebarang perubahan yang dilakukan oleh pihak terlibat.
Proses penempatan guru mengikut opsyen pada
hari ini seringkali menjadi buah mulut dalam kalangan guru dan pentadbir
sekolah. Lebihan guru mengikut opsyen terjadi apabila pihak pengurusan di
peringkat PPD tidak membuat tinjauan kekurangan opsyen di sekolah sebelum
menempatkan guru tersebut. Hal ini menyebabkan guru tidak mengajar mengikut
opsyen yang dimiliki seterusnya menimbulkan kesukaran kepada guru tersebut
untuk melaksanakan proses PdP dengan lebih berkesan. Pihak yang terlibat
seharusnya membuat tinjauan dan analisa mengikut keperluan guru di sekolah
sebelum mengeluarkan surat penempatan. Proses melabel guru menerusi sistem
e-operasi dapat mengurangkan penempatan guru tidak mengikut opsyen.
Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran
agar dapat menarik minat pelajar untuk meneruskan proses PdP di sekolah.
Perhatian daripada guru terhadap tahap kefahaman murid perlu dititikberatkan
supaya setiap pelajar mendapat ilmu dan menguasai isi kandungan dengan baik.
Hal ini dapat mengelakkan pelajar untuk fokus hanya apabila belajar di pusat
tuisyen sahaja. Selain itu, pelajar juga akan lebih mengharapkan pengajaran
guru sebagai sumber utama PdP dan pusat tuisyen sebagai sumber tambahan bagi
meningkatkan kefahaman memandangkan bilangan pelajar di pusat tuisyen jauh
lebih sedikit berbanding di sekolah.
No comments:
Post a Comment