1.0 PENGENALAN
Asas
kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada perkara yang murid mesti tahu,
faham dan mampu melakukannya. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan
mengaplikasikan semula kandungan mata pelajaran yang dipelajari. Namun begitu,
kemahiran ini kurang kritikal dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa
ini. Murid perlu ada keupayaan penaakulan serta membuat unjuran dan
mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Ciri-ciri
kepimpinan perlu ada dalam diri murid untuk bersaing di peringkat global. Melalui
pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar
mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Berdasarkan kajian tinjauan ke
atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga melaporkan bahawa murid
Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.
Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti
sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh
pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat
pendidikan tinggi. Selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan
akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid,
hasrat Kementerian untuk menukarkan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin
sukar dicapai. Bentuk kejayaan yang dilihat adalah dari segi tahap keberhasilan
murid dan amalan pembelajaran terbaik akan ditanda aras dan diselaraskan
mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi
supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Serterusnya, murid
yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat akses kepada bantuan yang
bersesuaian dengan keperluan bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah.
2.0 DEFINISI AKSES DAN EKUITI
Menurut Kamus Dewan
edisi keempat, akses didefinisikan sebagai proses atau cara untuk mencapai atau
memperoleh sesuatu data dan maklumat dan juga merupakan capaian. Manakala
ekuiti pula bermaksud pemilikan sama rata dalam sesebuah organisasi, saksama
dan adil. Secara amnya, akses dan ekuiti ini boleh menghapuskan jurang dan
membuka peluang kepada rakyat terutama pelajar yang berbeza dari segi keperluan
dan kebolehan bagi mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman melalui
pendidikan secara sama rata.
3.0 KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF
ANTARABANGSA
11
anjakan utama telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) yang salah satunya menyentuh berkaitan menyediakan kesamarataan akses
kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Antara aspirasi pendidikan Malaysia adalah berkaitan akses dan ekuiti. Setiap
kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat
kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian perlu memastikan kadar akses sejagat
dalam kalangan kanak-kanak dari
peringkat prasekolah hingga ke peringkat
menengah atas iaitu sehingga Tingkatan 5 menjelang tahun 2020 melalui
peningkatan kualiti prasekolah dan meningkatkan enrolmen kepada 100% menjelang
2020. Sehubungan dengan itu, pelanjutan pendidikan wajib daripada 6 tahun
kepada 11 tahun bermula pada umur 6 tahun, disokong dengan program pengekalan
yang disasarkan dan latihan vokasional sebagi persediaan untuk pekerjaan. Menjelang
tahun 2020, setiap murid akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan
minimum SPM atau kelayakan vokasional yang setara. Perubahan ini bermaksud
pendidikan wajib akan ditingkatkan daripada 6 tahun kepada 11 tahun. Enrolmen
murid dianggarkan akan meningkat sebanyak 5%, 10% dan 20% masing-masing di
peringkat pendidikan rendah, menengah rendah, dan menengah atas (berdasarkan
kadar enrolmen pada tahun 2011 untuk sekolah awam dan swasta). Murid yang
mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif bagi
mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan, merangkumi bimbingan pemulihan
kaunseling untuk ibu bapa dan murid serta pelbagai inisiatif lain. Murid akan
diberi pilihan mengikuti pelbagai laluan pendidikan berdasarkan minat dan
keupayaan mereka. Pilihan ini termasuk aliran teknik dan vokasional yang
diperluaskan, yang menawarkan kelayakan diiktiraf industri, dan peluang latihan
industri menerusi kerjasama rapat dengan sektor swasta.
Setiap
murid berumur 5+ tahun akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang
dikendalikan oleh pihak awam dan swasta. Keluarga yang berpendapatan rendah dan
tidak mampu mendaftar anak mereka ke prasekolah akan diberikan bantuan kewangan
berdasarkan keperluan oleh Kementerian. Semua prasekolah akan mengikuti
standard kualiti kebangsaan, termasuk menempatkan guru yang berkelayakan
diploma di setiap prasekolah. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara
tetap oleh Kementerian atau Majlis Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak
Malaysia bagi memastikan standard minimum dicapai.
Bagi
menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua
murid, kerajaan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran
kepada murid dengan keperluan khusus. Murid orang Asli dan kumpulan minoriti,
dan murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan menerima bantuan tambahan
supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain. Menjelang
tahun 2025, mereka akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan
lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membantu.
Mereka akan diajar oleh guru yang telah diberi latihan khas untuk memahami
keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi pengajaran yang diperlukan,
untuk mengajar murid yang mempunyai keperluan khusus. Jika perlu, murid ini
juga akan diberikan sokongan melalui perluasan jaringan dengan kaunselor, ahli
terapi dan pembantu guru. Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan
pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan
geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk
merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap
sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang tahun 2020.
Keupayaan
dalam kemahiran membaca, matematik dan sains menjadi penanda aras dengan
standard antarabangsa. Setiap murid akan dapat menguasai dengan baik kemahiran
literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran di masa hadapan,
serta dalam mata pelajaran Sains, bidang utama bagi perkembangan ekonomi
Malaysia. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan
standard sistem pendidikan yang berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu
disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Kementerian juga akan
menetap dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa
PISA dan TIMSS. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang
relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila diterima di peringkat
antarabangsa.
Hakikatnya,
hari ini murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya
menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif
dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras
tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Pihak terlibat
telah merombak peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan untuk meningkatkan
tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi pada 2016. Sehubungan dengan
itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)
dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun
2017. Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak untuk mengimbangi set
ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian
masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini memberi penekanan kepada pengajaran
berpusatkan murid dan mempelbagaikan kaedah pengajaran, di samping turut
memberi lebih penekanan pada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek,
memperkemaskan mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif.
Kurikulum
baharu akan menyokong dan mempercepatkan laluan pembelajaran untuk murid yang
berprestasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun dan bukan lima
tahun, dan UPSR diduduki pada Tahun 5. Tambahan lagi, standard pembelajaran yang
jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan
bagi setiap tahun persekolahan. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada
peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan
jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan
yang digariskan dalam kurikulum. Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu
ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran
pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid
berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat
tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa
lima tahun berbanding enam tahun.
Selanjutnya,
peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan
terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum
baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi
80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi, 80% dalam pentaksiran pusat
untuk Tingkatan 3, 75% daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras
SPM dan 50% bagi soalan mata pelajaran elektif SPM. Perubahan dalam reka bentuk
peperiksaan bermaksud guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik
yang akan diuji, dan pada masa yang sama tidak perlu melaksanakan latih tubi
terhadap topik tertentu. Sebaliknya, murid dilatih untuk berfikir secara kritis
dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan. Penilaian
berasaskan sekolah juga memberikan tumpuan untuk menguji kemahiran berfikir
aras tinggi
4.0 ISI-ISU
BERKAITAN KESAMARATAAN AKSES
Dalam kerancakan pihak terlibat
terutamanya Kementerian Pelajaran merencana dan merangka dasar bagi mengangkat
taraf pendidikan Malaysia setanding dengan kedudukan terbaik di peringkat
global, terdapat beberapa kekangan yang secara kasarnya menjadi penyebab kepada
kelancaran proses tersebut. Antara isu yang akan dikupas adalah berkaitan
dengan komunikasi, kaedah pengajaran dan pembelajaran (pdp), penilaian dan
pentaksiran, kemahiran berfikir aras tinggi dan jurang pencapaian dari segi
sosioekonomi.
Komunikasi memainkan peranan penting
dalam proses menyampaikan ilmu pengetahuan. Menurut kajian, guru merupakan
sumber utama dalam proses penyampaian maklumat yang merangkumi 55% sehingga
85%. Isi kandungan yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar sekiranya guru
menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Tidak dinafikan terdapat
guru yang tidak menguasai kemahiran berkomunikasi menyebabkan terdapat jurang
antara murid dan guru. Oleh yang demikian, pihak kepimpinan sekolah perlu
memainkan peranan dalam menganjurkan kursus komunikasi berkesan dalam
pengajaran dan pembelajaran bagi menyediakan satu suasana pembelajaran yang
menyeronokkan dan bermakna. Menurut mantan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul
Ghani Othman, 2009 PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar khususnya Melayu
dan Bumiputera di luar Bandar. Menurut Tan Sri Dato' Sri Haji Muhyiddin Haji
Mohd Yassin, 2011 jika Jepun, Jerman dan China mempelajari Sains dan Matematik
dalam bahasa ibunda mereka, beliau percaya Malaysia juga boleh cemerlang dalam
pelbagai bidang. Pemansuhan PPSMI adalah bertujuan bagi meningkatkan tahap
kefahaman murid dalam menguasai isi pembelajaran dengan lebih berkesan.
Kepelbagaian kaedah pengajaran dan
pembelajaran (pdp) memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu pendidikan
di Malaysia. Terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang boleh diterapkan dalam
pdp. Antaranya ialah pembelajaran kooperatif, pembelajaran masteri,
pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran berasaskan projek. Pdp yang
menyeronokkan akan dapat meningkatkan kefahaman murid dalam sesuatu topik yang
dipelajari melalui kaedah pembelajaran yang dinyatakan di atas berbanding
pembelajaran tradisional yang hanya berpusatkan guru. Sekiranya setiap guru
melaksanakan pdp dengan kaedah berpusatkan murid, maka hasrat kerajaan
terutamanya KPM akan terlaksana bagi menghasilkan murid yang memenuhi aspek
jasmani, emosi, rohani, insaniah dan jasmaniah. Anjakan ke-3 dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 adalah untuk melahirkan rakyat yang
menghayati nilai. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012). Sistem pendidikan
yang hanya menitik beratkan akademik semata-mata dan tidak memberikan perhatian
yang sewajarnya kepada aspek-aspek nilai dalam pengajaran di dalam bilik darjah
akan mewujudkan generasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang keilmuan tetapi
kurang menghargai akhlak dan agama dalam profesion dan kehidupan mereka. (Abdul
Rahim;Azharul, 2010).
Kaedah penilaian dan pentaksiran
yang dilaksanakan di peringkat sekolah telah mengalami perubahan dari semasa ke
semasa. Kaedah penilaian dan pentaksiran yang diperkenalkan adalah pentaksiran
berasaskan sekolah (PBS) yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah
iaitu tingkatan 1, 2 dan 3. Pelaksanaan PBS telah mendapat pelbagai reaksi
daripada semua pihak. Sistem SPPBS yang telah dimansuhkan telah memberi
kemudahan kepada guru memandangkan sistem yang dibangunkan mengalami gangguan.
Empat komponen PBS yang terkandung di
dalam PBS adalah terdiri daripada pentaksiran sekolah (PS), pentaksiran
aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK), pentaksiran psikometrik (PPsi)
dan pentaksiran tingkatan 3 (PT3). Pelaksanaan PBS memerlukan integriti
daripada guru-guru yang melaksanakan pentaksiran tersebut. Penilaian yang
dibuat seharusnya berdasarkan penglibatan murid dan kemampuan murid untuk
melakukan tugasan yang diberi. Secara keseluruhannya, PBS merupakan satu
penilaian dan pentaksiran yang holistik dan menyeluruh dalam mengukur kebolehan
murid secara berterusan. Kaedah pdp dan pentaksiran adalah berkait rapat antara
satu sama lain. Di peringkat SPM, soalan peperiksaan boleh dipilih oleh murid
menyebabkan murid hanya mempelajari topik tertentu sahaja. Sebagai contoh,
soalan SPM matematik tingkatan 5, pada soalan bahagian B, terdapat lima soalan
yang diberikan dan murid hanya perlu memilih empat soalan sahaja di mana satu
soalan mewakili satu bab. Maka kebarangkalian murid tidak menguasai salah satu
bab adalah sangat tinggi.
Pembelajaran abad ke-21 menekankan
kepada soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kesediaan murid dalam
menjawab soalan KBAT adalah berada di tahap yang sederhana. Murid tidak dapat
menganalisis kehendak soalan dan akhirnya berputus asa untuk menjawab soalan
yang dikemukakan dengan baik. Buktinya kedudukan Malaysia dalam ujian TIMSS dan
PISA berada di tangga yang tercorot. Bagi mengatasi masalah ini, pihak
kepimpinan sekolah memainkan peranan penting dalam memberi penekanan kepada
guru-guru berkaitan kepentingan KBAT dan pelaksanaannya dalam pdp di bilik
darjah. Sekiranya semua guru memainkan peranan masing-masing dan berfikiran
positif dalam menyampaikan isi kandungan berdasarkan soalan KBAT, maka
murid-murid akan lebih bersedia dan mampu untuk berusaha menjawab soalan yang
dikemukakan dengan baik. Teknik menjawab soalan KBAT berdasarkan empat langkah
Model Polya mampu membimbing murid untuk menjawab soalan KBAT. Empat langkah
yang diperkenalkan adalah memahami kehendak soalan, mengatur strategi dan
kaedah penyelesaian, melaksanakan kaedah penyelesaian dan menyemak jawapan.
Jurang pencapaian dari segi sosi
ekonomi dan konsep kendiri murid merupakan satu faktor yang mengurangkan
kesamarataan akses dalam meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat
antarabangsa. Antara aspek sosioekonomi yang boleh dilihat adalah dari segi
pekerjaan dan pendapatan ibu bapa serta taraf pendidikan ibu bapa. Kajian yang
dibuat menunjukkan bahawa ibu bapa yang memiliki tahap pengetahuan yang tinggi
mampu menempatkan diri dalam pekerjaan profesional yang memberikan pendapatan
yang lebih tinggi. Hal ini memudahkan mereka menyediakan keperluan pembelajaran
anak-anak mereka seperti akses internet dan kelengkapan persekolahan yang lain.
Secara tidak langsung, anak-anak mereka mampu untuk mencapai kecemerlangan yang
lebih tinggi. Konsep kendiri merupakan salah satu faktor yang boleh
meningkatkan pencapaian murid. Namun, murid perlu memiliki konsep kendiri
positif untuk mencapai kejayaan tersebut. Pada peringkat remaja, murid sedang
mencari identiti diri dan mengalami kekeliruan peranan. Pada peringkat umur
12-20 tahun, remaja akan cuba berusaha mewujudkan identiti dan persepsi sendiri
terhadap dunia mereka. Mereka juga mula memikir diri mereka sebagai bakal teman
hidup, ibu bapa dan ahli masyarakat. Sekiranya usaha mencari identiti diri ini
gagal, mereka akan mula meragui peranan dan fungsi mereka dalam masyarakat.
(Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2004). Maka semua pihak terutamanya ibu bapa
perlu memantau aktiviti anak-anak bagi mewujudkan suasana kehidupan yang
positif seterusnya mampu meningkatkan pencapaian anak-anak mereka.
5.0 CADANGAN MENGATASI KEKANGAN AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN
MATEMATIK
Setiap kekangan yang terdapat
dalam akses dan ekuiti dalam pendidikan Matematik perlu diatasi bagi
melonjakkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia. Antara cadangan yang boleh
dilaksanakan adalah memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih
analitik, mewujudkan interaksi sosial antara guru dan murid, komitmen dan
kreativiti guru, kepelbagaian kaedah pengajaran guru dan gaya pembelajaran
murid.
Bagi memantapkan sistem penilaian
dan pentaksiran, guru perlu menggalakkan penggunaan soalan kemahiran berfikir
aras tinggi dengan mengemukakan soalan masalah bukan rutin dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan anjakan pertama Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada
pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Seterusnya, interaksi sosial antara
guru dan murid perlu dimantapkan. Dalam pengajaran dan pembelajaran, strategi
pemusatan murid ditekan dalam bilik darjah. Dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru
merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang
positif seperti tolong-menolong, bekerjasama dan bertolak ansur jelas dapat
dipupuk. Pada 5 Ogos 2009, PPSMI telah dimansuhkan
secara ‘soft landing’. Pada tahun 2012 MBMMBI dilaksanakan dan rasionalnya
adalah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik
di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai
bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa
pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak 1970an. Kebanyakan
negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka
masing-masing sebagai bahasa ilmu.
Guru perlu memberi komitmen
sepenuhnya bagi merealisasikan misi dan visi kementerian pelajaran. Guru harus
memberi hak kesamaan kepada murid berpencapaian rendah di dalam pengajarannya
(Vaughn et al., 2003). Proses pengajaran memerlukan persediaan yang mantap oleh
seorang pendidik sebelum terlibat secara langsung dalam pdp di sekolah. Guru
perlu memahami masalah pelajar dan menguasai kurikulum serta teknik dan kaedah
mengajar selain muhasabah diri bagi meluaskan pengetahuan. Masa yang secukupnya perlu diberi untuk pelajar
menjawab sesuatu soalan serta memanggil mereka sekerap mungin seperti memanggil
pelajar lain. Namun begitu, elakkan meminta pelajar berpencapaian tinggi sering
membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah. Peluang perlu diberi kepada
semua murid untuk menjawab soalan sukar dan berpemikiran tinggi. Cadangan hak
kesamaan adalah elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah
mengajar bagi mengelakkan tanggapan bahawa mereka murid berpencapaian rendah,
berinteraksi dengan mereka sekerap mungkin, menerima idea sebagai menghargai
idea mereka sebagai sesuatu yang bermakna dan memberi maklum balas yang berinformasi
terhadap jawapan pelajar berpencapaian rendah.
Kepelbagaian kaedah pengajaran guru
mampu meningkatkan pencapaian murid. Pembelajaran Koperatif melibatkan pengajaran
yang mengumpulkan pelajar dalam kumpulan kecil supaya mereka bekerjasama bagi
memaksimumkan pembelajaran (Johnson et.al,1993). Pendekatan pengajaran model koperatif
STAD (Students Teams- Achievement Division), TGT (Teams-Games- Tournament), TAI
(Team Assisted Individualization) melibatkan 4 atau 5 orang murid dalam satu
kumpulan kecil yang terdiri daripada pelajar pencapaian tinggi, sederhana dan
rendah. 4 kriteria utama yang perlu dititik beratkan iaitu persembahan dan
penyampaian guru, kumpulan, kuiz dan pengiktirafan kumpulan. Bagi model STAD,
kuiz dijalankan bagi menggantikan permainan dalam model lain. Pencapaian
pertandingan melibatkan skor rendah atau tinggi dan melibatkan kombinasi
pembelajaran kumpulan dengan individu. 4 atau 5 orang murid ditempatkan dalam satu
unit berdasarkan Ujian Diagnostik. Skor ujian dikumpul dalam seminggu dan akan
menjadi skor kumpulan. Hasil kajian oleh penyelidik mendapati pembelajaran
koperatif menyebabkan peningkatan dalam keupayaan menyelesaikan masalah, menggalakkan
aktiviti metakognitif, penyelesaian masalah matematik dan melahirkan murid yang
berfikiran kritikal dan pemikiran tahap tinggi.
Murid perlu melihat corak dan gaya
pembelajaran yang diamalkan bagi meningkatkan pencapaian akademik mereka. Murid
perlu tahu halangan kefahaman sesuatu maklumat, mengaplikasikan pembelajaran
dalam kehidupan seharian, meminta bantuan orang lain dan berusaha mengatasi
kelemahan diri. Gaya pembelajaran bermaksud kaedah tersendiri individu mencari,
menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat (Felder dan Henriques, 1995). Dalam
kajian Bass&Greary(1996), mereka merumuskan bahawa salah satu cara
penentuan kecekapan atau prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai
ilmu adalah dengan menyedari gaya pembelajarannya. Penggunaan kaedah atau gaya
pembelajaran dapat membantu seseorang mengetahui dan memahami pengetahuan dan
kemahiran dalam proses pembelajaran. Menurut Dunn&Stevenson(1997), gaya
pembelajaran yang dimiliki juga dapat membantu seseorang untuk mengenalpasti
situasi pembelajaran dan mempertingkatkan prestasi pembelajaran. Murid yang
tahu menggunakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan dirinya akan lebih mudah
membantu mereka mencapai keputusan yang lebih cemerlang. Manakala menurut Dunn &
Dunn (1978) dalam kajian berpanjangan (longitudinal) oleh beliau menghasilkan
satu model gaya pembelajaran dan mengenalpasti 5 kategori gaya pembelajaran
yang diamalkan oleh individu. Model Gaya Pembelajaran Dunn & Dunn
berasaskan prinsip-prinsip iaitu kebanyakan individu mampu dan boleh belajar, setiap
individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu, gaya pembelajaran individu
bertindak balas dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran, dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran
yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran, seorang dapat mengoptimumkan proses
pembelajarannya.
6.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, guru-guru dan murid khususnya perlu
memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan
Matematik di samping perlu mendapat sokongan daripada pihak-pihak lain seperti
Kementerian Pendidikan Malaysia, pentadbir sekolah dan ibu bapa.
No comments:
Post a Comment