Perbincangan
berkaitan Isu Bahasa dalam Pengajaran
1. Kekuatan dan kelemahan PPSMI
Pada pandangan
saya, PPSMI sebenarnya merupakan satu dasar yang dirangka dan diatur dengan
baik. Pelaksanaan pada mulanya sememangnya terdapat kekurangan, namun setelah
diteruskan terdapat perubahan dari segi berbahasa dalam kalangan murid.
Menyentuh berkaitan penggunaan bahasa Inggeris merupakan suatu perkara yang
terlalu sukar bagi seseorang murid yang tidak pernah mempraktikkan bahsa
berkenaan. Namun begitu, setelah PPSMI diwujudkan, murid lebih yakin dan mampu
bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Ketakutan dalam mempraktikkan
bahasa tersebut dapat dikikis sedikit demi sedikit dan akhirnya mereka mampu menggunakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kedua dalam kehidupan seharian.
Kajian demi kajian
dilakukan oleh para ilmuan dan ahli akademik terhadap dasar PPSMI sehinggalah
dasar tersebut terpaksa dimansuhkan atas kekangan-kekangan yang dihadapi dalam
melaksanakan PPSMI secara menyeluruh di peringkat sekolah. PPSMI secara
realitinya tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat sekolah
kerana terdapat jurang yang menyebabkan pencapaian murid merosot melalui dasar
PPSMI ini. Murid yang lemah untuk memahami istilah yang digunakan dalam bahasa
Inggeris semasa PdP menyumbang kepada kegagalan dalam menerima input berkaitan
isi kandungan Matemati dan Sains dengan baik. Kesediaan murid dalam menerima
sesuatu dasar yang baru amat sukar kerana sebahagian daripada murid di Malaysia
dibesarkan dengan penggunaan bahasa Ibunda masing-masing. Sejajar dengan
kekangan dan desakan yang diberikan, maka dasar PPSMI dimansuhkan dan
digantikan dengan dasar MBMMBI.
2.
Pelaksanaan MBMMBI
Pelaksanaan
MBMMBI dilihat dapat diterima oleh masayarakat pada hari ini. Penggunaan bahasa
Ibunda dalam penyampaian Matematik dan Sains dilihat dapat meningkatkan tahap
pencapaian murid. Bagi menjayakan dasar MBMMBI, pihak kerajaan terutamanya KPM
memainkan peranan utama dalam menggerakkan dan menjayakan dasar ini dengan
menggariskan strategi-strategi yang dilihat mampu mendidik murid-murid untuk
memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Pemansuhan
PPSMI bukan bererti bahasa Inggeris diketepikan tetapi masih digunakan dan
dipelajari bagi meningkatkan kelancaran murid menggunakan bahasa tersebut di
peringkat antarabangsa.
Lapan
strategi yang digariskan adalah berkaitan dengan mentransformasikan kurikulum
bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, meningkatkan kompitensi guru bahasa Melayu
dan bahasa Inggeris, menempatkan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
mengikut opsyen, menggunakan khidmat pakar, perunding dan pembantu guru,
memperluas penggunaan bahan dan TMK PdP bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris,
memperluas publisiti dan kempen pengukuhan bahasa, meningkatkan penyertaan
murid dalam aktiviti bahasa di luar bilik darjah dan melaksanakan pentaksiran
dan pelaporan keperihalan pencapaian murid.
Daripada
lapan strategi yang digariskan, terdapat kekangan dalam merealisasikan pelan
tersebut yang dilihat dari sudut pelaksanaannya di peringkat sekolah. Makmal
bahasa yang disediakan disekolah tidak mampu untuk menampung jumlah murid yang
ramai dalam satu masa. Kemudahan yang disediakan terhad kepada beberapa kelas sahaja.
Terdapat masalah teknikal seperti komputer tidak dapat dihidupkan, alat
pendengaran tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat mengakses data
dengan baik. Namun begitu, saya percaya hal ini akan dapat diatasi secara
berperingkat-peringkat sekiranya pihak yang terlibat mengambil inisiatif dan
langkah yang terbaik bagi meningkatkan akses dan penggunaan makmal bahasa yang
dilihat dapat membantu murid dalam mendalami bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris dengan baik. Menurut murid, kaedah pembelajaran seperti ini amat
menyeronokkan dan murid dapat meluahkan idea yang ingin disampaikan tanpa
batasan. Pemantauan guru dilihat dapat membantu murid dalam membimbing dan
memberi tunjuk ajar sepanjang proses PdP berlangsung.
3.
Penutup
Secara
keseluruhannya, dasar MBMMBI merupakan penambahbaikan daripada dasar PPSMI yang
dilihat dapat memenuhi keperluan murid dalam meningkatkan pencapaian dan
kemahiran berbahasa murid. Dasar ini akan dapat dimantapkan dan diperkukuhkan
lagi dengan kerjasama dan pandangan daripada semua pihak iaitu dari peringkat
perancang dasar sehinggalah ke peringkat pelaksana dasar. Buah fikiran dan idea
yang bernas daripada semua pihak dapat melahirkan generasi yang memiliki
pelbagai kemahiran di masa kan datang.
No comments:
Post a Comment